ANEMIA adalah masalah disebabkan oleh bilangan sel darah merah kurang daripada kadar normal, menyebabkan kekurangan oksigen yang mampu dipam.
Walaupun masalah ini kelihatan tidak serius, namun kekurangan sel darah merah boleh mengancam nyawa sekiranya tidak diberi rawatan.
Secara umum, masalah anemia lebih banyak berlaku di kalangan wanita berbanding lelaki. Begitupun bacaan kurang 13.5 g/dl (gram per desiliter darah) bagi lelaki dianggap sebagai anemia manakala kurang dari 12.0 g/dl pula bagi wanita.
Anemia boleh berlaku di kalangan wanita hamil, terutama di negara mundur dan sedang membangun. Kadar anemia ini akan berkurangan apabila taraf kehidupan warga sesebuah negara semakin baik, anak tidak dilahirkan rapat dan pengurangan pendarahan haid dengan penggunaan pil perancang.
Penyakit ini bagaimanapun secara lazimnya mengambil masa lebih dari dua tahun untuk terjadi kerana banyaknya vitamin B12 yang tersimpan dalam hati. Tetapi perlu diingat, seorang "vegetarian" yang patuh pada jadual pemakanannya juga boleh mengalami kekurangan vitamin B12.
Secara asasnya, anemia terbahagi kepada beberapa kumpulan seperti Macrocytic Anemia iaitu sel darah merah yang besar daripada biasa; Normocytic Anemia, kekurangan bilangan sel darah; Simple Microcytic Anemia, sel darah merah yang kecil daripada biasa dan Microcytic Anemia, kekurangan saiz sel darah merah dan konsentrasi hemoglobin.
Pelbagai faktor boleh dikaitkan sebagai punca pencetus anemia termasuklah penyakit yang serius, kekurangan vitamin atau zat besi, kehilangan darah, genetik dan kesan pengambilan ubat-ubatan.
Kebanyakan masalah anemia ini disebabkan oleh kekurangan zat besi dalam pemakanan. Pemeriksaan darah lazimnya akan dilakukan sewaktu hamil. Satu tujuannya adalah untuk mengesan keadaan kurang darah supaya ia dapat diatasi sebelum seseorang wanita itu melalui proses bersalin sekiranya berlaku banyak pendarahan.
Jika seseorang ibu menyusukan anak, penggunaan zat besi akan bertambah. Keadaan ini akan menyebabkan anemia menjadi lebih teruk jika tidak diganti dengan zat besi dalam pemakanan.
Pemeriksaan darah untuk mengenal pasti keadaan anemia akan menentukan kadar hemoglobin dalam darah. Kadar hemoglobin yang normal adalah antara 11.5-13.5 gm peratus. Seseorang dikatakan kurang darah jika kadar kandungan hemoglobinnya kurang daripada 10 gm peratus.
Zat besi adalah penting untuk menghasilkan darah. Ia bahagian penting dalam hemoglobin dengan fungsinya membawa oksigen ke sekeliling tubuh.
Bekalan darah semakin bertambah ketika hamil membuatkan keperluan zat besi juga bertambah. Oleh kerana kebanyakan punca kekurangan darah adalah disebabkan oleh kurangnya zat besi dalam pemakanan, lazimnya doktor akan memberikan pil yang mengandungi zat besi.
Keperluan harian zat besi wanita yang sedang hamil adalah sebanyak 3 mg sehari secara purata, tetapi keperluan ini bertambah apabila kehamilan semakin sarat.
Apabila masuk bulan kelapan kehamilan, keperluannya adalah 8 mg sehari. Pemakanan yang baik dan mengandungi banyak zat besi boleh memberikan kadar zat besi sehingga 15 mg. Perlu difahami, hanya 10 hingga 15 peratus daripada zat besi yang dimakan akan diserap dan digunakan oleh tubuh.
Penyerapan zat besi ini semakin tinggi peratusannya sewaktu hamil dan apabila seseorang ibu mempunyai masalah kurang darah.
Makanan yang mengandungi banyak zat besi adalah seperti daging merah, hati, ginjal, sayur-sayuran berdaun hijau, bijirin penuh, kekacang dan kismis.
Pemakanan yang mengandungi vitamin C yang tinggi seperti buah-buahan boleh mendorong penyerapan zat besi manakala minuman seperti teh boleh mengurangkan penyerapan zat besi.
Perlu diingatkan, hati juga mengandungi zat vitamin A yang tinggi dan boleh menjejaskan janin. Oleh itu pengambilan hati sebagai hidangan perlu dihadkan sewaktu hamil walaupun ia mengandungi kadar zat besi yang tinggi.
Perlu juga diingatkan pengambilan zat besi tidak akan membuatkan anak menjadi besar seperti yang dipercayai. Ramai juga ibu enggan mengambil pil vitamin dengan sangkaan begitu walaupun mereka sedang mengalami masalah kurang darah.
Masalah anemia ketika hamil
- Masalah kepada ibu: Cepat letih, kelihatan pucat, susah bernafas, berdebar-debar dan mudah pengsan.
- Ibu yang mengalami anemia tidak mempunyai ketahanan untuk mengatasi pendarahan banyak yang lazimnya berlaku sewaktu proses kelahiran dan ketika berpantang. Jika anemia mereka terlalu teruk, kadangkala pendarahan yang normal pun akan menjejaskan ketahanannya.
- Melambatkan masa pulih selepas bersalin.
- Mudah dijangkiti kuman sewaktu dalam pantang.
- Risiko kelahiran pramatang.
Oleh itu, amatlah penting bagi seseorang ibu memastikan pemakanannya berkhasiat sewaktu hamil dan juga ketika dalam pantang. Pemeriksaan darah bagi mengesan anemia perlu dilakukan ketika hamil dan langkah awal perlu diambil untuk mengatasi masalah ini sebelum seseorang ibu itu bersalin untuk mengelakkan keperluan transfusi darah.
Penulis : Norakmah Mat Youb
Sumber : Ruangan diognisis Berita Harian
No comments:
Post a Comment