Saturday, April 2, 2011

Khasiat Dan Kebaikan Telur Ayam

Kita goreng, kita rebus dan ada yang makan telur ayam mentah. Telur ayam adalah sumber protein berkualiti dan mempunyai hampir semua vitamin dan garam galian yang diperlukan oleh badan manusia. Ia merupakan sumber protein yang paling murah. Berbanding dengan ikan dan daging, hampir 93 peratus protein daripada telur diterima oleh badan.

Memilih telur yang baik akan memastikan telur yang berkualiti dan tahan lama untuk disimpan. Telur yang segar mempunyai kulit yang berkilat dan jika direndam akan tenggelam di dalam air. Telur perlu datang dengan bekas simpanan yang bersih dan tahan. Kulit telur juga perlu dibersihkan dari sebarang kotoran seperti bulu ayam yang melekat dan najis yang mungkin terpalit.

Telur perlu disimpan di dalam peti sejuk. Ini untuk memastikan telur tahan disimpan lama. Pastikan tarikh luput telur pada bungkusannya diperiksa. Pilih tarikh luput yang paling lama atau pada anggaran masa penggunaan.

Simpan telur di dalam bekasnya atau tempat khas untuk telur. Pastikan ia tidak bercampur dengan bahan-bahan yang berbau kerana bau akan diserap oleh telur melalui kulitnya. Cara yang betul menyimpan telur adalah dengan hujung tajam ke bawah.

Untuk memudahkan kulit telur dikupas selepas direbus, campurkan sedikit garam sewaktu merebus. Telur yang telah direbus apabila diputarkan akan berpusing dengan elok dan tetap. Manakala telur mentah akan berpusing dengan tidak sekata.

Bagi kawasan yang diisytiharkan kawasan jangkitan virus H5N1, ambil langkah merebus telur sehingga masak. Jangan makan telur mentah atau telur separuh masak sehingga kawasan itu diisytiharkan selamat.

Pengendalian telur adalah penting. Pastikan kulit telur dicuci sebelum penyimpanan dan juga sewaktu sebelum penggunaan. Tangan juga perlu dicuci selepas pengendalian telur. Ini untuk menjamin kulit telur bebas dari bakteria.

Kini terdapat pelbagai jenis keluaran telur ayam yang bermutu. Ayam-ayam yang menghasilkan telur ini diberikan makanan khusus. Anda boleh lihat telur-telur keluaran dengan Omega 3, caratonoid dan ada dengan tambahan selenium.

Telur ini didapati lebih besar saiznya, bermutu, sedap dan tahan lebih lama. Khasiat tambahan juga dapat membantu dari segi kesihatan.

Omega 3 dapat membantu dalam mengurangkan serangan sakit jantung dan turut meningkatkan perkembangan otak.

Selenium pula adalah sejenis garam galian dan anti oksida dan ia membantu dari segi sistem pertahanan badan.

Caratonoids pula adalah phytonutrien yang melengkapkan pengambilan khasiat permakanan. Xanthrophylls adalah caratonoid yang terkandung dalam telur. Ia membantu dalam melindung cel-cel tubuh manusia daripada mamahan usia dan kesan alam keatasnya.

Telur adalah antara sumber protein yang baik. Menurut kajian satu kajian, pengambilan telur ayam yang bermutu sehari sekali baik untuk kesihatan badan. Sebiji telur mempunyai 75 kalori dan 5 gram lemak. Namun begitu, kepelbagaian itu penting. Terdapat pelbagai jenis protein yang diperlukan oleh badan dalam membesar dan membaiki tubuh manusia. Makan telur adalah mengambil sebahagian daripadanya. Pengambilan protein dari tumbuhan seperti kacang soya dan spirulina dapat melengkapkan jenis-jenis protein yang diperlukan oleh badan manusia.

Senaman itu penting untuk mengurangkan kolesterol ‘jahat’ dalam badan. Amalkan bersenam sekurang-kurangnya 3 kalo seminggu selama 30 minit hingga satu jam setiap sesi.

Maklumat di atas adalah untuk pengetahuan am sahaja. Dapatkan nasihat doktor bertauliah untuk sebarang masalah kesihatan.

Archive

Women of Malaysia Social Network

No comments:

Post a Comment